Ramai yang berhujah bahawa Bitcoin adalah emas yang baharu disebabkan oleh persamaan dari segi bekalan yang terhad serta peranan kedua-dua sebagai alternatif kepada mata wang fiat. Namun begitu, perbandingan ini gagal melihat perbezaan utama antara emas dan Bitcoin – bukan sahaja dari segi dinamika pasaran, malah prestasi mereka serta peranan dalam portfolio.
Permintaan emas didorong oleh pelaburan dan penggunaan
Walaupun hampir 60% daripada permintaan purata¹ tahunan emas berkaitan dengan tujuan pelaburan, permintaan untuk pembuatan barang kemas juga tidak terkecuali daripada pasaran emas dan merangkumi hampir 34%. Emas juga banyak digunakan di dalam teknologi – termasuk komponen yang diperlukan untuk melombong mata wang kripto. Dua sifat ini membezakan emas daripada aset lain – kebolehan untuk menunjukkan prestasi baik ketika berdepan tekanan ekonomi dan juga perkembangan ekonomi jangka panjang – sekali gus membuktikan kepentingan emas untuk memberikan pulangan di dalam setiap portfolio dan keberkesanannya untuk mempelbagaikan risiko.
Berbeza dengan Bitcoin di mana permintaan utama (pada ketika ini) adalah untuk pelaburan.
Kepelbagaian pengeluaran dan pemilikan emas
Perlombongan emas dikatakan global dengan kewujudan beberapa lombong utama di China, Rusia, Australia, Amerika Syarikat dan Kanada, termasuk beberapa di Amerika Latin dan Afrika. Purata pengeluaran tahunan diagihkan secara menyeluruh ke setiap rantau dan tidak ada satu benua pun yang mempunyai pemilikan lebih dari 25%.
Apabila bercakap tentang pemilikan sebenar, keluasan agihan juga memainkan peranan. Diketahui bahawa Amerika Syarikat adalah pemegang emas tunggal yang terbesar tetapi mereka hanya memiliki 4% daripada semua pasaran above-ground.
Sebaliknya menurut Bloomberg, “lima entiti perlombongan yang semuanya berpusat di China, menguasai 49.9% dari semua kuasa pengkomputeran dalam rangkaian, kuasa perlombongan yang tertinggi pada masa sekarang”. Manakala, pemilikan sangat bertumpu dengan 2% pemegang Bitcoin memiliki 95% daripada semua Bitcoin yang ada.
Penambahan Bitcoin di dalam setiap portfolio pelaburan memang membawa kepada pulangan yang tinggi tetapi perlu diingat, ia juga menambahkan risiko yang besar.
Sejak awal tahun 2020, Bitcoin telah berkembang lebih dari 700%. Pulangan sebegini menjadi tajuk utama sekali gus menyukarkan pelabur institusi untuk tidak ambil peduli. Walau bagaimanapun, seperti mana-mana aset kewangan, ganjaran atau pulangan tidak hadir tanpa risiko. Kenaikan Bitcoin selama 15 bulan kini telah menampakkan pola turun naik dan risiko yang ketara – Bitcoin menjadi 4.5 kali lebih mudah berubah dari emas; pelabur mempunyai 5% (95% VaR) kemungkinan untuk kehilangan sekurang-kurangnya AS $ 1,382 untuk setiap AS $ 10,000 yang dilaburkan di dalam Bitcoin iaitu hampir 5 kali lebih tinggi daripada risiko pelaburan yang sama dalam emas.
Jadi apa maksudnya bagi pelabur?
Sekiranya anda ingin melabur di dalam Bitcoin berdasarkan prestasi yang dilihat sekarang, anda juga perlu sedar kepentingan untuk memiliki aset seperti emas di dalam portfolio anda, bagi mengurangkan risiko tambahan yang hadir bersama pulangan yang besar. Anda harus ingat bahawa tiada yang membawa pulangan tinggi dengan risiko yang rendah. Pelaburan adalah sama ada tinggi pulangan dan tinggi risiko atau rendah pulangan dan rendah risiko.
1. Sumber: World Gold Council.