Dunia makin gila. Baru saja berlaku minggu yang lalu, kerajaan UK telah meminjam sejumlah wang daripada pelabur dan yang mengejutkan, para pelabur pula yang perlu membayar faedah pinjaman tersebut dengan alasan pelabur ‘diberikan peluang’ meminjamkan wang kepada kerajaan. Terkejut? Saya pun. Saya tak pasti apakah akibatnya tetapi terbayang-bayang kesan buruk yang bakal memberikan impak jangka panjang pada kita semua.
Bayangkanlah, anda membuat pinjaman kereta, sepatutnya anda yang dikenakan faedah tetapi pihak bank pula yang membayar anda atas ‘kesudian’ anda meminjam wang dari mereka!
Jadi dalam arus yang serba celaru ini, saya pasti ramai yang terfikir-fikir apa yang perlu anda buat dengan emas di dalam simpanan sekarang. Dengan nilainya yang saban hari meningkat, orang sering bertanya pada saya, ‘nak jual atau simpan emas?’.
Pertama sekali yang perlu diingat, salah satu kelebihan emas (emas ada BANYAK kelebihan), ia adalah ‘insurans’ kepada kewangan dalam keadaan ekonomi gawat. Seorang pengulas kewangan ada berkata “….jika harganya (emas) terus meningkat, anda sepatutnya jual. Tetapi, ramai yang tidak berbuat begitu”. Kebiasaannya, ramai akan terus menyimpan jika mereka tidak memerlukan tunai atau kesudahannya mewariskan emas mereka kepada generasi yang seterusnya. Mengapa? Kerana ketika ramai pelabur membeli dan menjual saham, jarang sekali mereka membuat urus niaga emas, dan memilih untuk terus menyimpannya.
Secara peribadi, saya percaya emas bukan sahaja perlindungan kalis inflasi, malah perlindungan hidup. Jaring keselamatan pada saat yang tidak diduga, ketika dunia tidak terkawal atau seperti yang dikatakan pengulas tadi, apabila dunia “…bertukar menjadi ‘Mad Max Beyond Thunderdome’.” (Filem aksi pada tahun 1985)
Akan tetapi, mustahil jika saya langsung tidak akan menjual emas. Ketika terdesak dan berlakunya kecemasan seperti pinjaman tertunggak, kos hospital, dan sebagainya, sudah tentu saya akan jual. Pendek kata, jika menjual emas mengurangkan risiko berlakunya sesuatu yang buruk dalam kehidupan saya atau keluarga, saya akan menjualnya tanpa ragu-ragu.
Saya bernasib baik kerana memiliki simpanan wang tunai, dan mengandaikan perlindungan insurans perubatan serta hayat buat saya dan keluarga mencukupi, saya akan terus membeli lebih banyak emas sehingga mencapai 10% daripada jumlah portfolio pelaburan saya. Ini adalah jumlah yang saya rasakan tepat untuk dicapai. Kebanyakan penasihat kewangan menyarankan di antara 5% hingga 10%.
Jika saya mampu mengambil risiko yang lebih tinggi, dan mempertahankan kesemua pelaburan yang dibuat untuk 3 atau 5 tahun yang akan datang, saya akan asingkan baki simpanan tunai ke dalam bentuk ekuiti, bon, emas dan Bitcoin. Penting untuk diingatkan bahawa keputusan seperti ini berbeza untuk setiap individu; bergantung kepada kemampuan dan keinginan anda untuk menyimpan.
Jika anda mempunyai pendapat atau cara lain untuk menguruskan kewangan, kongsikannya di ruang komen, saya amat menghargainya.
Robin Lee
Ketua Pegawai Eksekutif & Pengasas HelloGold
Hello Mr Robin. Saya berminat melabur dlm emas tapi tak tahu dari mana hendak bermula. Lagipun saya tak tahu bagaimana pelaburan emas dapat menjana sumber kewangan saya
Helo!
Bagi setiap produk kewangan, adalah disarankan untuk membuat kajian atau perbandingan untuk kesesuaian produk mengikut kehendak atau pun keselesaan pengguna. Oleh itu, kami mencadangkan agar anda melihat pada harga carta sejarah harga emas, juga terpapar dalam aplikasi kami untuk memahami dan menghayati harga turun naik emas. Emas dilihat sebagai berisiko rendah dan pulangan rendah. Namun, simpanan dalam bentuk emas adalah bermanfaat untuk masa depan. Sewaktu keadaan tidak mengizinkan, ia merupakan asset yang tahan lama untuk disimpan. Dengan itu, pengguna biasanya akan menyimpan emas dalam jangka masa yang panjang, kebiasaannya tiga hingga lima tahun.
Jika anda mempunyai soalan lanjut, anda boleh emel kami di [email protected], telefon kami di 1300 130 888 ataupun Whatsapp kami di +603-7661 6228.
Terima kasih! 🙂