Bila hujung bulan, ramai di antara kita yang berazam untuk simpan duit gaji. Tetapi berapa ramai yang betul-betul menyimpan? Sebenarnya ada banyak cara kreatif untuk anda simpan duit gaji, walaupun dengan gaji yang kecil. Sebenarnya tanpa disiplin dan perancangan, anda akan rasa liat untuk menyimpan walaupun dengan gaji yang besar. Untuk anak muda yang baru bekerja, mulakan tabiat menyimpan dari gaji pertama lagi. Tak salah untuk berbelanja duit hasil titik peluh anda, cuma ‘ukur baju di badan sendiri’.
Jom kami kongsikan 17 cara anda boleh simpan duit gaji sebelum anda berbelanja sakan!
17 Cara Simpan Duit Gaji Dengan Bajet Yang Rendah
1. Simpan Duit Secara ‘Auto Deduction’
Bagi mereka yang rasa berat untuk simpan duit gaji setiap hujung bulan, cara ini mungkin jalan yang terbaik untuk anda. Salah satu cara untuk memastikan duit gaji anda disimpan secara konsisten adalah melalui potongan automatik atau ‘auto deduction’.
Anda boleh menyimpan sebahagian daripada duit gaji anda secara konsisten dan ‘paksa rela’, tanpa perlu berfikir panjang. Hubungi bank anda jika tidak pasti bagaimana untuk bermula.
2. Bahagikan Perbelanjaan Guna Sampul Surat
Tahukah anda sampul surat bukan sahaja boleh digunakan untuk menghantar surat, tetapi juga salah satu cara simpan duit? Mudah sahaja. Ambil beberapa sampul surat, tulis kategori perbelanjaan pada setiap sampul surat — seperti barangan runcit, sewa rumah atau pinjaman PTPTN — dan kemudian masukkan wang yang anda ingin ketepikan untuk setiap kategori perbelanjaan ke dalam setiap sampul yang berkenaan.
Ingat! Anda hanya boleh menggunakan duit dari sampul-sampul tersebut. Jika ada lebihan duit pada setiap hujung bulan, anda boleh gunakannya untuk perbelanjaan bulan hadapan atau keluarkan duit tersebut dan masukkan ke dalam tabung kecemasan.
3. Tabung Duit Syiling Melalui Aplikasi
Walaupun kita kini di dalam era endemik, perbelanjaan atas talian atau ‘online shopping’ masih menjadi pilihan ramai, terutamanya di kalangan generasi muda di Malaysia. Pasti anda tertanya-tanya, apakah kaitan topik ini dengan cara simpan duit gaji?
Terdapat beberapa aplikasi mudah alih yang membolehkan anda untuk menyimpan sambil berbelanja. Contohnya apabila anda berbelanja sebanyak RM52.55, aplikasi tersebut akan membundarkan jumlah kepada RM53 dan secara automatik RM0.45 akan dimasukkan ke dalam ‘tabung’ anda.
4. Pilih ‘Hari Tanpa Berbelanja’
Mencabar bukan? Pertama sekali, pilih hari yang anda tidak akan berbelanja dan seterusnya pilih kategori barangan/servis yang anda tidak akan beli/guna pada hari tersebut. Sebagai contoh, setiap hari Rabu anda tidak akan membeli kopi di kedai kopi ternama, sebaliknya anda akan membuat kopi di rumah..
Hari tanpa berbelanja ini bukan sahaja merupakan salah satu cara jimat duit yang berkesan untuk jangka masa panjang, malah membantu anda untuk membuat keputusan yang lebih sihat.
5. Asingkan 10% Dari Gaji Anda
Cara simpan duit gaji ini menggalakkan anda untuk menyimpan sekurang-kurangnya 10% daripada keseluruhan gaji sebelum anda berbelanja. Katakan gaji anda selepas cukai adalah RM3000 untuk setiap bulan. Sebelum anda membuat sebarang transaksi, simpan 10% daripada RM3000 iaitu bersamaan RM300.
Duit yang anda simpan setiap bulan, boleh digunakan untuk membayar wang pendahuluan pembelian rumah atau boleh sahaja di simpan di dalam tabung kecemasan anda.
6. Cabaran Simpan Duit Gaji Dari RM0.10
Jika bergaji besar, mungkin mudah untuk menyimpan tetapi bagaimana cara simpan duit gaji kecil? Apa kata cuba cara ini. Pada hari pertama, anda mula simpan duit gaji anda dengan RM0.10. Hari kedua anda perlu simpan RM0.20, hari ketiga anda perlu simpan RM0.30 dan bersambung mengikut hari seterusnya.
Jumlah yang anda simpan setiap hari akan meningkat secara beransur-ansur, sebagai contoh:
Hari ke-150: Anda harus menyimpan RM15
Hari ke-151: Anda harus menyimpan RM15.10
Hari ke-152: Anda harus menyimpan RM15.10
Jika anda ikut cara ini selama 365 hari, jumlah keseluruhan yang anda akan dapat adalah RM6,679.50. Wah! Banyak kan?
7. Teknik RM1 Setiap Hari
Teknik ini sememangnya mudah dan tidak memerlukan formula yang rumit. Setiap hari sebelum anda memulakan hari anda, masukkan RM1 ke dalam tabung yang telah diasingkan. Teknik ini menggunakan bajet yang rendah, menjadikannya salah satu cara simpan duit gaji yang boleh digunapakai walaupun gaji anda kecil.
Jumlah simpanan: RM1 x 365 hari = RM365
Walaupun jumlah ini tidaklah sebesar mana, dan mungkin tidak dapat membantu menyelesaikan hutang ang besar, cara ini dapat melindungi diri anda daripada perbelanjaan yang tidak dijangka.
8. Tabung 2 Kali Ganda
Anda nak tahu cara bagaimana dengan berbelanja, anda juga boleh simpan duit gaji? Tabung 2 kali ganda membolehkan anda mendapatkan apa yang anda ingini, sekaligus tabung simpanan gaji anda juga penuh. Katakan anda ingin membeli barangan yang bernilai RM1,500 secara tunai. Anda harus menyimpan dua kali ganda daripada jumlah yang diperlukan iaitu RM3,000.
Cara ini memerlukan semangat dan tekad yang tinggi, tetapi anda pasti berasa gembira dan bangga kerana akhirnya anda bukan sahaja dapat membeli barangan yang anda inginkan malah mempunyai simpanan tambahan di dalam tangan.
9. Cabaran Simpanan 52 Minggu
Jika anda boleh simpan duit gaji mengikut cabaran RM0.10 di atas, anda juga boleh mencuba cabaran 52 minggu ini. Peraturannya juga tidak banyak beza dan mudah untuk difahami. Minggu pertama, anda perlu menyimpan sebanyak RM1. Minggu kedua, anda perlu menyimpan sebanyak RM2 dan berterusan mengikut minggu seterusnya sehingga 52 minggu.
Pada minggu akhir, jumlah yang anda telah simpan adalah RM1,378. Cabaran 52 minggu juga boleh diselaraskan bergantung kepada matlamat atau tabiat kewangan anda. Sebagai contoh, anda juga boleh bermula dari jumlah tertinggi, dan mendepositkan jumlah wang yang semakin berkurangan setiap minggu.
10. Simpan Duit Ikut Hari Bulan
Kaedah ini juga cara simpan duit gaji kecil yang mudah untuk anda ikuti. Untuk lebih jelas, anda boleh gunakan kalendar tahunan untuk pantau progres tabung duit gaji anda ini. Berikut adalah caranya:
Januari
1 haribulan = RM1
2 haribulan = RM3
(sambung sehingga 31 haribulan = RM31)
Genap 12 bulan atau setahun, anda akan total duit gaji yang anda simpan di dalam tabung adalah RM4,310. Jumlah yang bukan sedikit, hampir menyamai harga sebuah Macbook Air Apple yang baru!
11. Cabutan Simpanan Harian
Tidak dapat disangkal. Simpan duit gaji lebih susah berbanding habiskan duit gaji. Apa kata kita jadikan cara untuk simpan duit lebih menarik? Cari sebuah balang dan masukkan kertas yang bertulis jumlah yang anda rasa mampu untuk anda simpan setiap hari. Jangan lupa lipat ya!
Setiap hari sebelum anda tidur, buat cabutan dan masukkan jumlah yang anda cabut setiap hari. Ulang setiap hari dan selama mana yang anda mampu. Jangan terkejut jika tabung simpanan duit gaji anda ini boleh digunakan untuk membayar duit pendahuluan rumah pertama anda!
12. Simpan RM7 Setiap Kali Jarum Jam Berada Di Nombor 7
Cara ini lebih menarik dan bergantung kepada tuah kerana anda tidak terikat untuk menabung setiap hari. Anda juga perlukan jam analog untuk cabaran ini. Setiap kali anda melihat jam dan jarum panjang atau jarum pendek menunjukkan nombor 7, anda harus menyimpan RM7 ke dalam tabung simpanan anda.
Cara simpan duit gaji ini sesuai untuk mereka yang tidak mempunyai bajet yang besar dan tidak sukakan komitmen. Bergantung kepada tuah anda, ada hari anda mungkin menyimpan berkali-kali dan ada hari yang anda tidak akan menyimpan langsung.
13. Simpan Duit Kertas Yang Lebih Tua Daripada Anda
Berapa ramai di antara kita yang suka melihat nombor di atas duit kertas? Jika anda salah seorang daripadanya, mungkin anda patut cuba simpan duit gaji anda mengikut cara ini. Simpan duit kertas (tidak kira nilai apa sekalipun) jika 2 digit akhir nombor siri adalah lebih rendah daripada 2 digit akhir tahun kelahiran anda.
No siri KG0707088
Simpan duit kertas ini kerana tahun kelahiran anda adalah 1988.
14. Baling Dadu Untuk Jumlah Simpanan Setiap Hari
Juga hampir sama dengan cara cabutan simpanan harian, cabaran ini
membantu anda simpan duit gaji melalui cara yang menarik dan mencabar. Pertama sekali anda perlu menetapkan jumlah dadu yang ingin dibaling setiap bulan. Baling dadu setiap hari dan simpan duit anda berdasarkan nombor yang anda dapat. Teruskan menyimpan mengikut cara ini selama mana yang anda mahukan
Anda boleh bermula dengan satu dadu sebelum menambah kepada lebih dadu apabila mempunyai bajet yang lebih besar. Atau anda juga boleh pilih untuk baling dadu lebih daripada satu kali untuk menyimpan lebih banyak duit.
15. Simpan Duit Ikut #CuacaSelasa
Cuaca sememangnya tidak menentu, begitu juga ekonomi negara. Namun kita harus bersedia berdepan sebarang kemungkinan dan mampu melindungi diri kita dengan tabung kecemasan yang mencukupi. Cuba simpan duit gaji anda mengikut cuaca setiap hari Selasa, sebagai contoh. Pilih satu waktu pada setiap hari di mana anda akan melihat bacaan cuaca pada hari tersebut dan menyimpan duit mengikut digit cuaca.
Contoh:
Tarikh: 28 July 2022 (Selasa)
Waktu: 8pm
Cuaca: 28℃
Jumlah harus disimpan: RM28
16. Masukkan RM5 Ke Dalam Tabung ‘Hijau’
Cara ini tidak asing di kalangan rakyat Malaysia. Kita dapat melihat di media sosial, ramai yang mula memilih untuk simpan duit gaji ke dalam tabung berwarna-warni seperti warna jingga dan hijau. Kaedah yang tidak memeningkan kepala dan sangat mudah ini menjadi penyebab mengapa cara simpan duit gaji menjadi pilihan.
Setiap kali anda mendapat duit kertas berwarna hijau bernilai RM5, anda harus memasukkannya ke dalam tabung ‘hijau’. Tidak kira sekeping atau 5 keping duit kertas, anda harus memasukkan kesemua duit kertas itu ke dalam tabung.
17. Tukar RM1 Kepada Emas
Dengan berita berkenaan inflasi dan kadar faedah yang makin meningkat, adakah anda sedar bahawa emas merupakan pelindung nilai terbaik? Pelbagaikan portfolio simpanan anda dan tukar duit kertas anda kepada emas.
Walaupun dengan gaji kecil, anda boleh membeli emas dengan RM1. Jika anda mampu untuk ketepikan RM30 sebulan, anda boleh automatikkan pembelian emas dengan harga terendah melalui SmartSaver kami.
FAQs
Bagaimanakah cara untuk simpan duit dengan gaji RM1000?
Anda boleh simpan duit gaji anda dalam bentuk emas walaupun dengan gaji serendah RM1,000. Emas adalah pelindung nilai terbaik berbanding wang kertas anda. Cara pertama adalah dengan membeli emas dengan bajet hanya RM1 melalui aplikasi HelloGold. Cara kedua adalah dengan ketepikan bajet RM30 setiap bulan ke dalam akaun SmartSaver anda untuk HelloGold belikan emas pada harga terendah, setiap hari.
Bagaimanakah cara untuk simpan duit dalam masa 3 bulan?
Cara paling mudah untuk simpan duit dalam masa 3 bulan adalah dengan bermula dengan nilai yang kecil. Segelintir daripada kita perlu melihat duit tersebut disimpan secara fizikal, jadi apa kata anda beli tabung lutsinar dan simpan di rumah. Setiap hari sebelum tidur, masukkan semua duit syiling dan duit kertas yang berada di dalam dompet anda ke dalam tabung tersebut.
Apakah cara terbaik untuk simpan duit?
Cara terbaik untuk simpan duit adalah melalui ‘auto deduction’. Melalui cara ini, anda boleh memindahkan sebahagian daripada duit anda di dalam bank ke dalam akaun lain untuk tujuan simpanan. Anda boleh pilih untuk ‘auto deduction’ dilakukan secara automatik sebaik sahaja gaji masuk pada hujung bulan. Hubungi bank anda untuk maklumat lanjut.
Adakah saya harus simpan duit atau beli emas?
Jawapan terbaik adalah kedua-duanya. Anda harus mempunyai simpanan duit di dalam tabung fizikal mahupun di bank untuk membolehkan anda membuat sebarang transaksi apabila berdepan dengan situasi kecemasan. Anda juga harus menyimpan emas untuk mengelakkan wang tunai anda hilang nilainya. Nilai emas juga secara amnya meningkat dalam jangka masa panjang.
Kesimpulan
Segalanya di tangan anda. Diharap tips untuk simpan duit gaji yang kami telah senaraikan di atas dapat membantu meningkatkan semangat anda untuk terus menyimpan. Tidak kira gaji kecil atau besar, yang penting anda terus konsisten untuk simpan duit gaji demi kesenangan masa hadapan.
Apa perlu anda buat dengan duit yang disimpan? Kami sarankan untuk anda tukarkan duit tersebut ke dalam bentuk emas untuk berdepan dengan inflasi.
Mula simpan duit gaji dari sekarang kerana walaupun dengan RM1, nilai itu akan membantu anda di masa hadapan.