Setelah dua tahun kita beraya serba sederhana, pasti ramai yang teruja untuk berbelanja habis-habisan untuk sambutan hari raya pada tahun ini. Perancangan rumah terbuka secara besar-besaran dan jualan sempena Syawal yang mengugat iman, memungkinkan anda untuk berbelanja secara berlebihan.
Sebelum anda mula membuat persiapan, berikut adalah 10 cara yang anda boleh lakukan untuk berjimat menjelang hari raya supaya perbelanjaan anda tidak jauh tersasar untuk Syawal nanti.
Ingat, simpan dahulu
Setiap kali perayaan, perbelanjaan kita akan bertambah tetapi ini tidak bermakna anda tidak boleh menyimpan. Sebelum anda bebelanja walaupun RM0.01, simpan sekurang-kurangnya 20% daripada pendapatan bulanan anda untuk masa hadapan.
Anda bukan sahaja dapat menyambut perayaan tanpa rasa bimbang, anda juga akan mendapat lebih banyak penjimatan daripada faedah kompaun yang diperolehi. Bagus kan?
Lebih menarik jika anda boleh menyimpan awal! Buat satu tabung sinking fund‘Hari Raya’ sekurang-kurangnya 6 bulan sebelum perayaan tersebut. Tetapkan jumlah dana yang ingin dicapai untuk setiap tabung perayaan dan ketepikan jumlah yang ditetapkan pada setiap bulan.
Contohkan: Katakan pendapatan bulanan anda adalah RM5,000 dan anda menyimpan 20% (RM1,000) daripada jumlah tersebut. Asingkan 20% daripada simpanan anda ke dalam sinking fund ‘Hari Raya’, bersamaan RM200 sebulan (RM1000 x 20%). Pada bulan keenam, anda akan mempunyai simpanan sebanyak RM1,200 untuk perayaan. Menarik!
Berikut adalah beberapa kalkulator sinking fund yang anda boleh cuba:
Selesaikan semua perbelanjaan dan bil bulanan sebelum beraya
Kaching! Gaji sudah masuk. Pastikan anda memperuntukkan sebahagian daripada gaji anda untuk semua perbelanjaan bulanan anda dan bayar komitmen bulanan anda sebelum perayaan. Dana ini sepatutnya hanya digunakan untuk menampung perbelanjaan harian anda dan tidak bercampur dengan bajet hari raya. Beringat sebelum merana di kemudian hari.
Sediakan bajet
Dengan kewangan yang teratur, lebih mudah untuk anda merancang perbelanjaan dan mengetahui jumlah yang anda boleh peruntukkan untuk sebarang perbelanjaan perayaan tambahan. Sama seperti belanjawan biasa, buat belanjawan khas untuk perbelanjaan raya dan bahagikan mengikut kategori berikut:
- Duit Raya
- Juadah di hari raya (katering/kuih-muih)
- Baju Baru
- Dekorasi Raya
- Hadiah/hampar
- Sumbangan
- Kontingensi
Tetapkan had realistik untuk setiap kategori dan tambahkan kontingensi untuk sebarang perbelanjaan yang kita tidak dapat jangkakan. Kami mengesyorkan kaedah belanjawan sampul surat (envelope budgeting) dan tetapkan had perbelanjaan untuk setiap kategori untuk membantu anda berada di landasan yang betul.
Buat senarai beli-belah
Setelah anda menetapkan belanjawan, tiba masanya untuk anda membuat senarai beli-belah untuk setiap kategori. Sediakan senarai realistik untuk semua item yang anda perlukan dan jangan terpesong. Sangat mudah untuk kita dipengaruhi oleh taktik pemasaran yang menarik tetapi jangan biarkan keinginan yang melampau mengambil alih. Gunakan senarai anda sebagai kompas untuk kekal fokus pada perkara yang anda ‘perlukan’ untuk mengelakkan perbelanjaan berlebihan.
Rujuk media sosial, laman web & aplikasi untuk mendapatkan tawaran
Dengan senarai yang anda sekarang ada, anda boleh mula membeli-belah! Sentiasa rujuk media sosial, laman web dan aplikasi untuk membandingkan harga. Anda boleh catat tawaran, harga dan butiran kedai ke dalam helaian belanjawan anda untuk membandingkan tawaran.
Tidak dinafikan memang sukar untuk kita menahan diri apabila ada tawaran jualan hebat, penghantaran percuma mahupun tawaran serendah RM1 tetapi sentiasa semak semula senarai anda untuk tidak tersasar jauh. Tawaran seperti jualan barangan serendah RM1 sememangnya berbaloi untuk perbelanjaan rumah terbuka anda nanti.
Pembelian secara pukal juga merupakan cara yang baik untuk menjimatkan wang pada musim perayaan ini. Walaupun anda tidak dapat menggunakan kesemua barangan yang dibeli, anda boleh membahagikan pembelian dengan saudara anda yang memerlukan.
Jika anda kekurangan waktu, anda boleh menyemak lawan web perbandingan harga seperti iPrice dan Hargapedia.
iPrice membandingkan produk daripada peruncit dalam talian terkemuka seperti Lazada, Shopee, Zalora, Watsons, AirAsia, Agoda dan Klook. Mereka juga mempunyai halaman Ramadan & Raya Vouchers untuk carian yang lebih pantas.
Hargapedia ialah aplikasi pemantau harga yang membandingkan produk pasar raya di lebih 600 kedai seperti Aeon, Lotus dan Lulu’s. Mereka juga menawarkan tawaran eksklusif daripada rakan kongsi mereka.
Jika anda sukakan penjimatan tambahan dan merancang untuk melakukan kebanyakan pembelian anda dalam talian, anda boleh memperoleh ganjaran pulangan tunai daripada pembelian anda dengan Shopback. Ini ialah faedah tambahan yang boleh anda nikmati.
Dan untuk rawatan kecantikan berdiskaun atau tempahan hotel, Fave ialah laman/aplikasi yang menawarkan tawaran hebat seperti penginapan hotel dengan hanya RM1! Pastikan anda sentiasa membaca fine print kerana kadangkala mereka mempunyai tempoh ‘blackout’ untuk musim perayaan.
Pilih kaedah pembayaran terbaik
Wang tunai, e-Dompet, debit dan kad kredit semuanya mempunyai tawaran pembayaran yang hebat, tetapi ini bermakna anda memerlukan lebih masa menyelidik semua kaedah ini untuk memaksimumkan penjimatan.
Apabila menyentuh aspek had belanjawan, kami mendapati bahawa pembayaran secara tunai adalah yang terbaik untuk mengelakkan perbelanjaan berlebihan. Anda akan lebih berhati-hati untuk berbelanja apabila anda melihat sendiri wang di dompet semakin berkurang.
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna anda tidak boleh mengambil kesempatan daripada tawaran hebat dari kad kredit & e-Dompet. Jika anda ingin mendapat ‘mata ganjaran’ daripada kad kredit anda, pastikan anda membayar sepenuhnya secepat mungkin untuk mengelakkan faedah 18% yang dikenakan.
Jika anda ingin memperoleh mata ganjaran daripada e-Dompet, kami mengesyorkan anda menambah nilai akaun dengan jumlah tetap untuk perbelanjaan Raya anda, tetapi ini bermakna menangguhkan pembelian lain seperti pesanan penghantaran makanan anda.
Tawaran skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian atau Buy Now Pay Later (BNPL) juga kelihatan menarik tetapi ini boleh menjadi sangat berbahaya. Menurut artikel terbaru oleh News Straits Times, BNPL tidak dikawal dan mengenakan bayaran jika anda tidak dapat membayar kredit yang selalunya lebih tinggi bayarannya daripada kad kredit.
Selain itu, sebaik sahaja anda telah mengaktifkan BNPL dalam e-Dompet anda, anda TIDAK boleh mematikannya. Selepas bercakap dengan pasukan sokongan Pelanggan eWallet, saya diberitahu bahawa saya tidak boleh memadamkan pilihan BNPL selepas pengaktifan tetapi boleh cuba mengurangkan had saya. Selepas menghantar e-mel kepada mereka untuk mengurangkan had, saya kemudian dimaklumkan had itu masih tidak boleh dikurangkan.
Nasihat kami.. jika anda tidak dapat mengawal keinginan membeli-belah anda, fikir dengan teliti sebelum mengaktifkan skim Beli Sekarang, Bayar Kemudian!
Pakai semula, kitar semula dan susun semula
Apabila bercakap tentang menghias dan bergaya di hari raya ini, anda boleh mengurangkan bajet anda dengan mudah dan mengelakkan pembaziran dengan:
Pakai semula baju raya anda
Dapatkan penampilan baharu dengan memadankan sampin, baju Melayu, songkok, tudung kepala, baju dan skirt anda. Beri pakaian anda rupa baharu dengan menambahkan butiran seperti manik, bulu atau renda, atau bawa ke tukang jahit untuk diubah semula. Anda juga boleh mendapatkan aksesori baharu seperti kerongsang yang jauh lebih murah daripada membeli baju raya baru.
Kitar semula hiasan
Hidupkan semula rumah anda untuk perayaan ini tanpa kos yang tinggi. Dapatkan inspirasi dari Pinterest dan YouTube. Guna semula sampul Raya untuk membuat hiasan origami yang cantik. Pastikan anda mempunyai kit alat tulis yang lengkap seperti kertas berwarna, gunting, stapler, gam dan tali.
Ini juga aktiviti kekeluargaan yang sihat. Anda bukan sahaja dapat meluangkan masa bersama-sama untuk menghias rumah, anda juga dapat menjimatkan masa dan wang.
Susun semula perabot anda
Ubah kedudukan perabot anda untuk membuatkan rumah anda berasa berbeza tanpa sebarang kos. Fokus pada ruang tamu kerana ini akan menjadi ruang terbesar untuk semua orang berkumpul. Tukar titik fokus utama dari TV kepada aktiviti untuk bersosial dan perbualan. Anda juga boleh menukar kedudukan gambar di dinding untuk memberikan rasa segar.
Anda juga boleh cuba bertukar-tukar barang dengan keluarga, rakan atau pun di kumpulan Facebook untuk menjimatkan wang pada hari raya ini. Berikut ialah senarai kumpulan Facebook yang untuk hiasan dan pertukaran pakaian:
Jadi kreatif dengan hamper
Hamper yang telah siap dibungkus selalunya sangat mahal dan tidak selalu menjamin nilai yang hebat. Jadi kreatif dan buat sendiri hamper anda! Pasti rakan dan keluarga anda akan lebih menghargai hadiah dari kreativiti anda.
Hamper daripada barangan yang dibeli secara pukal semestinya akan menjimatkan wang. Tawaran hamper dari Lazada & Shopee dan tawaran barangan RM1 merupakan pilihan yang tepat untuk mencari bahan dan hiasan hamper. Selidik dan senaraikan semua bahan yang diperlukan untuk hamper DIY anda seperti makanan, kotak, reben, helaian pembalut, supaya anda boleh mengira jumlah kos setiap hamper. Ini memerlukan sedikit usaha dan akan membantu anda menilai sama ada pilihan anda ialah pilihan yang paling kos efektif untuk anda.
Jika anda seorang tukang masak yang hebat, anda boleh memberi sambal atau kuih buatan sendiri hasil dari air tangan anda. Walaupun memerlukan lebih banyak masak untuk dihasilkan, makanan yang disediakan sendiri pasti menyentuh hati penerima hamper anda.
Sebagai alternatif, terdapat beberapa jenama tempatan seperti Nyonya Lab, Christy Ng and The Tapping Tapir yang menghasilkan hamper mini yang cantik dan mampu milik bernilai di antara RM40 ke RM60.
Buat perancangan perjalanan lebih awal
Kos untuk pulang ke kampung halaman boleh memakan sebahagian besar daripada bajet anda. Untuk meminimumkan kos dan sebarang tekanan di kemudian hari, kami mengesyorkan agar anda bersedia dan bertolak awal untuk perjalanan balik kampung anda.
Servis kereta anda sebelum perjalanan jauh boleh mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini di sepanjang lebuh raya. Pastikan minyak hitam anda ditukar, wiper dan lampu berfungsi, air cermin depan diisi semula dan tayar dipam. Ini boleh menyelamatkan anda daripada perkhidmatan trak tunda yang mahal dan tekanan daripada menunggu di lebuh raya yang sibuk.
Apabila mengisi minyak atau menambah nilai kad Touch ‘n Go atau RFID anda, manfaatkan pulangan tunai dan mata ganjaran dengan kad dan e-Dompet.
Untuk menjimatkan minyak, pertimbangkan untuk bertolak beberapa hari di luar waktu puncak untuk mengelakkan kesesakan jalan raya. Dan untuk perjalanan yang menjimatkan bahan api, elakkan membawa barangan yang berlebihan untuk mengurangkan berat kereta anda.
Apabila membeli tiket penerbangan, bas atau kereta api, beli lebih awal untuk menikmati kadar yang lebih murah. Bandingkan harga dengan mudah di laman web seperti Skyscanner atau Google Flights dan aktifkan notifikasi untuk mendapatkan harga yang paling berbaloi.
Buat perancangan untuk pemberian duit raya
Apabila bercakap tentang duit raya, tidak ada buku panduan atau contoh untuk diikuti. Sebagai peraturan umum, kebanyakan daripada kita membuat keputusan tentang jumlah duit raya yang perlu diberikan berdasarkan keputusan peribadi.
Menurut tinjauan dari Cilisos, majoriti rakyat Malaysia purata duit raya yang diberikan bernilai RM10 atau RM5.
Ketepikan bajet yang realistik untuk pemberian duit raya dan senaraikan semua penerima kepada 4 kategori, sebagai contoh:
- Ahli keluarga terdekat
RM100 untuk ibu bapa dan RM50 untuk adik beradik - Saudara rapat yang sering bertegur sapa
RM10 – RM20 - Saudara yang hanya berjumpa setahun sekali
RM5 - Yang lain-lain termasuk kanak-kanak yang menghadiri rumah terbuka anda, kanak-kanak di kawasan kejiranan anda
Bergantung kepada berapa banyak yang anda mahu berikan
- Ahli keluarga terdekat
Pemberian duit raya tidak seharusnya menjadi punca tekanan kewangan kerana niat untuk memberi adalah lebih utama. Memandangkan kita masih merasakan kesan kewangan daripada Covid-19, ramai orang akan dapat menerima sebarang nilai duit raya yang diberikan.
Beri semula kepada masyarakat
Adalah penting untuk kita sentiasa bersyukur dengan apa yang kita ada dan salah satu cara kita boleh menunjukkan rasa syukur adalah dengan memberi kembali kepada masyarakat.
Buat keputusan sama ada anda ingin menderma barangan, makanan atau wang tunai, kemudian tetapkan jumlah derma anda. Banyak aplikasi dan laman web kini memudahkan proses untuk bersedekah. Rakan-rakan kami di Global Sadaqah, sebuah platform pengurusan zakat dan crowdfunding amal, sentiasa mempunyai inisiatif hebat yang boleh anda sokong.
Tahukah anda anda boleh menyumbang terus kepada Global Sadaqah daripada aplikasi HelloGold? Pilih kempen pilihan anda dan hanya pindahkan jumlah derma anda daripada akaun HelloGold anda ke [email protected]. Sangat mudah!
Elakkan mengambil pendahuluan tunai daripada majikan
Semasa musim perayaan, sesetengah majikan mungkin menawarkan bonus atau gaji lebih awal daripada tarikh gaji biasa. Berhati-hati kerana sebahagian daripada pendahuluan dan bonus ini sebenarnya ditolak daripada gaji bulanan masa hadapan anda. Licik betul?
Berpegang pada belanjawan anda yang diperuntukkan berdasarkan wang yang telah anda simpan daripada pendapatan biasa anda. Jangan kompromi masa depan kewangan anda dengan membelanjakan wang tunai tambahan ini.
Kami percaya anda boleh menikmati pengalaman hari raya tanpa mengabaikan tradisi. Untuk menjimatkan wang pada musim perayaan, buat persediaan awal, buat lebih banyak kajian, jadilah pembeli yang bijak berjimat dan ikut bajet anda! Ini akan membolehkan anda menikmati semua perayaan dengan tenang!